My Follower

Diari Lelaki maskulin



Jejaka terhangat 2010

DARI kiri bawah, (ikut jarum jam), Rizman Nordin, Asraf Imam Muda, Zulyasrani Zaulyaddin, Zizan Raja Lawak, Muhammad Adiq dan Wan Ruzzaini.
DARI kiri bawah, (ikut jarum jam), Rizman Nordin, Asraf Imam Muda, Zulyasrani Zaulyaddin, Zizan Raja Lawak, Muhammad Adiq dan Wan Ruzzaini.
IMPAK enam jejaka ini cukup menyerlah dan mencetuskan inspirasi hasil kejayaan serta aura personaliti mereka yang cukup berpengaruh sepanjang 2010. Muda, berbakat besar dan berkarisma - kelebihan diri yang membuktikan kejayaan dirintis berbekalkan semangat dan azam yang kuat.

Kejayaan Rizman Nordin, Wan Ruzaini Wan Jamil, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, Zizan Raja Lawak, Muhammad Adiq Husainie Othman dan Zulyasrani Zaulyaddin, pula bukannya datang bergolek tanpa azam, keringat dan kerja keras yang melayakkan mereka di tahap sekarang .


Rizman dan rakan kongsinya Wan Ruzaini mencipta legasi fesyen tersendiri menerusi empayar Rizman Ruzaini sekali gus menjadikan mereka antara pereka fesyen muda terhangat di Malaysia ketika ini. Ditambah pula dengan kejayaan mengungguli Anugerah Pesona Tenun Berita Harian (APTBH) 2010 baru-baru ini yang memantulkan aura fesyen anak muda ini sehingga dirasai ramai.
Begitu juga kejayaan Muhammad Asyraf menempa nama sebagai pemenang utama Imam Muda sekali gus melayakkan anak kelahiran Pulau Pinang ini mencipta nama dalam tempoh pantas. Ketika ini, jejaka berusia 26 tahun ini sudah pun memiliki program sendiri, Soal Asyraf di saluran Astro Oasis.

Kejayaan Zizan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak di malam kemuncak Shout! Awards menerusi trofi Favourite TV Persoanlity Award juga petanda kebangkitan pelawak ini dalam industri hiburan. Malah, Zizan turut mengenepikan nama-nama besar termasuk Aznil Hj Nawawi, Ally Iskandar, Awal Ashaari, Daphne Iking dan Henry Golding untuk melayakkan beliau terpilih sebagai ikon baru penghibur tanah air.

Selain itu, pelumba basikal lebuh raya negara Muhammad Adiq juga dilihat permata baru dalam sukan berbasikal negara selepas Azizulhasni Awang ekoran beberapa kejayaannya yang turut dinobatkan juara kebangsaan 2010.

Muhammad Adiq yang baru berusia 19 tahun turut muncul pelumba terbaik tempatan dalam penampilan sulungnya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, sekali gus sebagai petanda positif dalam arena sukan berbasikal kerana semakin meriah dengan kemunculan bintang baru. 
Dunia peragaan tanah air juga nampaknya berjaya melahirkan seorang lagi bintang yang sudah pun mencipta nama di persada antarabangsa menerusi anak muda, Zulyasrani Zaulyaddin di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat.

Kejayaan Zulyasrani, 22, yang memenangi dua emas, dua perak, satu anugerah industri dan satu anugerah Champion of the World sebagai bukti bakat anak tempatan mampu menggegar arena peragaan antarabangsa. 

XY - Ikon Lelaki minggu ini berkongsi inspirasi kejayaan enam jejaka ini sehingga melayakkan mereka sebagai jejaka yang memberi impak sepanjang 2010...

1) Asyraf Imam Muda

Detik terbaik anda sepanjang 2010?

- Program Imam Muda sebagai platform terbaik saya dikenali ramai. Program realiti ini banyak mengubah hidup saya dan keluarga daripada ustaz biasa hinggalah kini semakin dikenali sebagai seorang imam. Impaknya cukup besar hinggakan saya sering jadi tumpuan walaupun hanya berkunjung ke kedai. 

Adakah tahun ini dirasakan paling memberi makna terhadap hidup anda?

- Boleh dikatakan begitu kerana kesan yang cukup besar maknanya dirasakan di mana sebelum ini kita hanya insan biasa tetapi menerusi program Imam Muda dakwah kita diterima dan berkongsi idea untuk kesejahteraan bersama. 

Tergolong dalam individu berjaya sepanjang tahun ini, apakah makna kejayaan kepada anda?

- Kejayaan bagi saya bila apa yang kita cita-citakan dimakbulkan Allah SWT tidak kiralah besar atau kecil kesannya. 

Apakah prinsip yang anda amalkan sebagai resipi kejayaan?

- Bagi saya, dalam apa saja perancangan yang hendak dilakukan, ingatlah pada Allah SWT. Pada masa yang sama minta juga restu ibu dan ayah kerana doa mereka cukup berkat untuk kejayaan buat kita.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Selain ibu sendiri, saya juga mengagumi ketokohan Allahyarham Hassan Al-Bannar iaitu pendakwah tersohor Mesir yang berjaya melahirkan ramai cendekiawan Islam. 

Nama: Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 12 Februari 1984
Tempat lahir: Sungai Gelugor, Pulau Pinang
Tinggi: 165 sentimeter
Berat: 60 kilogram

2) Rizman Nordin

Kenangan paling bermakna sepanjang tahun ini?

- Pentas MIFA menjadi memori terbaik untuk dikenang sepanjang hidup kerana tahun ini kami berdua berjaya memanggil nama-nama besar dunia peragaan seperti Tengku Azura, Fazdlun Abas, Carmen Soo dan ramai lagi serta kemunculan Datuk Siti Nurhaliza. Pada masa yang sama, kejayaan di Anugerah Pesona Tenun Berita Harian 2010 menambah tarikan Rizman Ruzaini.

Apakah prinsip yang anda amalkan sebagai resipi kejayaan?

- Sentiasa bekerja keras dan mengamalkan prinsip persaingan sihat untuk memastikan semua orang suka kepada rekaan dan personaliti secara keseluruhan.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Semestinya keluarga yang menjadi keutamaan kerana saya sendiri bukan tergolong dalam keluarga senang. Inspirasi seterusnya ialah Siti Nurhaliza di mana rahsia kejayaannya sehingga ke tahap sekarang sesuatu yang cukup memotivasikan sesiapa saja.

Selepas cemerlang pada 2010, bagaimana sasaran 2011 pula?

- Menjadi sasaran Rizman Ruzaini untuk melebarkan koleksi sedia ada termasuk kemunculan konsep pakaian ready to wear dan pengurusan yang lebih sistematik. Insya-Allah jika tiada halangan kami juga akan membuka butik yang dapat memuatkan semua perihal dunia kecantikan dan fesyen.

Nama: Rizman Nordin
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 28 Mei 1984
Tempat lahir: Georgetown, Pulau Pinang
Tinggi: 174 sentimeter
Berat: 89 kilogram

3) Wan Ruzaini

Apakah detik terbaik yang anda rasakan sepanjang 2010?

- Bagi saya 2010 banyak perubahan terutama dalam pengembangan jenama Rizman Ruzaini. Selain rekaan yang semakin dipertingkatkan, persefahaman dalam rekaan menjadi kekuatan sebenar bagi memantapkan jenama ini di peringkat seterusnya.

Tergolong dalam individu berjaya sepanjang tahun ini, apakah makna kejayaan kepada anda?

- Makna kejayaan itu berdasarkan apa yang kami kecapi seperti mana anugerah dalam dunia fesyen di Anugerah Pesona Tenun Berita Harian 2010 yang lalu. Pengiktirafan ini memberi kita lebih semangat untuk mempelbagaikan idea ke depan.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Ibu saya, Nazarah Kassim dan Pensyarah di UiTM, Faizal Hamid yang tidak kenal jemu memberikan sokongan sejak pengajian diploma hingga sekarang ini.

Selepas cemerlang pada 2010, bagaimana sasaran 2011 pula?

- Sasaran adalah untuk mengembangkan lagi jenama Rizman Ruzaini termasuk pembukaan butik yang merangkumi butik pengantin, fesyen pakaian ready to wear, studio perkahwinan, aksesori solekan di mana ia memberi satu lagi dimensi buat jenama Rizman Ruzaini.

Nama: Wan Ruzaini Wan Jamil, 
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 7 Ogos 1984
Tempat lahir: Taiping, Perak
Tinggi: 171 sentimeter
Berat: 60 kilogram

4) Zizan Raja Lawak

Detik terbaik anda sepanjang 2010?

- Syukur kerana tahun ini cukup bererti dalam lipatan kerjaya saya dalam bidang seni. Selain banyak tawaran berlakon dan mengacara, kejayaan anugerah di Shout! Award serta kepercayaan menjadi pengacara di Festival Filem Malaysia (FFM) yang terbaru cukup bermakna dan membuktikan bakat kita dihargai.

Apakah makna kejayaan kepada anda?

- Kejayaan cukup membantu dalam karier tetapi di sebalik kejayaan itu perlu juga direnung kerana adakah bakat kita yang melayakkan kita mengecapi kejayaan itu. Kejayaan juga harus diterima sebagai petanda bakat kita dihargai. Maka, selepas melakar kejayaan, haruslah berusaha untuk mempelbagaikan tarikan sedia ada supaya tidak di takuk lama.

Apakah prinsip yang anda amalkan sebagai resipi kejayaan?

- Jangan bodoh sombong dan jangan sesekali lalai dengan kejayaan yang dikecapi hari ini. Pada masa yang sama, jangan ketepikan orang tua serta sentiasa ingat kepada Allah SWT. Bagi meningkatkan kualiti diri, sentiasalah berfikir di luar kotak minda.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Tentulah ibu saya, Anai Ibrahim yang banyak membantu selama ini. Menjadi impian saya untuk membahagiakan dirinya dan seterusnya berbangga.

Selepas cemerlang pada 2010, bagaimana sasaran 2011 pula?

- Banyak perancangan untuk 2011 dan syukur dengan pelbagai tawaran untuk berlakon filem, mengacara dan program sendiri, Zizan Show. Saya juga baru saja selesai penggambaran filem Hantu Bonceng, KL Gangster dan Untuk Tiga Hari. Diharapkan semua yang saya terima tidak melalaikan diri dan sentiasa mahu belajar benda baru.

Nama: Mohd Razizan Abdul Razak
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 15 April 1984
Tempat lahir: Kuala Terengganu, Terengganu
Tinggi: 160 sentimeter
Berat: 55 kilogram

5) Muhammad Adiq

Apakah detik terbaik yang anda rasakan sepanjang 2010?

- Banyak kejayaan yang membanggakan saya dilakar sepanjang 2010 ini. Sejak memasuki kancah pemain senior untuk tahun pertama, saya menduduki tempat kelima dalam kejuaraan di Tour of Gironde, Perancis bagi kategori bawah 23 tahun. Malah, saya turut tidak sangka kerana dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan di Melaka walaupun baru setahun memasuki kategori senior. Pada kejohanan Le Tour de Langkawi, saya berjaya mencatat tempat kesembilan keseluruhan dan muncul pelumba tempatan terbaik. Kesemua ini mendorong saya untuk berusaha gigih pada 2011.

Apakah prinsip yang anda amalkan sebagai resipi kejayaan?

- Kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya semua itu perlu berusaha dengan pelbagai latihan serta aspek lain. Selain latihan yang perlu dijalankan, senaman, penjagaan pemakanan dan faktor rehat yang cukup adalah formula terbaik untuk sebuah kejayaan bagi atlit.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Ibu saya, Rusni Ismail kerana beliau banyak mendorong dan menjadi pencetus semangat saya dalam arena sukan berbasikal. Malah, setiap kali saya akan beraksi, saya tentu akan menghubungi ibu tidak kiralah sama ada di Moscow ataupun di Australia sekali pun. Bagi saya, kata semangat dan pesanan ibu cukup bermakna.

Selepas cemerlang pada 2010, bagaimana pula sasaran 2011 pula?

- 2011 bakal menjadi tahun kedua saya dalam arena sukan berbasikal. Kalendar kejuaraan tempatan dan antarabangsa juga banyak di mana saya berhasrat untuk menempa lebih banyak kejayaan selain mahu membina nama sebagai pelumba berbasikal disegani.

Nama: Muhammad Adiq Husainie Othman
Umur: 19 tahun
Tarikh lahir: 9 April 1991
Tempat lahir: Kemaman, Terengganu
Tinggi: 175 sentimeter
Berat: 57 kilogram

6) Zulyasrani Zaulyaddin

Apakah detik terbaik yang anda rasakan sepanjang 2010?

- Tentunya kejayaan di WCOPA di Hollywood lalu antara detik paling berharga buat saya sepanjang 2010 ini. Kalau hendak tahu, saya mencuba dua kali pada sesi pemilihan bermula tahun lalu sebelum akhirnya berjaya dipilih tahun ini. Bonus berganda pula kerana berjaya memenangi banyak kategori termasuk kategori peragaan, slim wear, formal wear, kasual wear dan photo shoot. 

Tergolong dalam individu berjaya sepanjang tahun ini, apakah makna kejayaan kepada anda?

- Kejayaan ini dirasakan berbaloi selepas segala usaha selama ini berakhir dengan kejayaan yang dicita-citakan. Malah, kalau hendak tahu, saya sendiri mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah butik kasut dan tidak sangka kejayaan mengiringi saya selepas itu.

Apakah prinsip yang anda amalkan sebagai resipi kejayaan?

- Kerja keras, tidak malas dan tidak malu untuk mempelajari sesuatu yang boleh memajukan kita ke depan. Malah, saya sendiri banyak belajar daripada program peragaan di televisyen semata-mata mahu memperbaiki teknik jalan dan penampilan di atas pentas.

Siapakah sumber inspirasi anda?

- Ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan semestinya. Doa dan sokongan mereka menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya dalam bidang ini.

Selepas cemerlang pada 2010, bagaimana sasaran 2011 pula?

- Buat masa ini saya ingin kembangkan bakat dalam dunia peragaan tetapi harus banyak bersabar untuk memasarkan bakat di sini. Saya berharap dapat kembangkan bakat di New York, Amerika Syarikat serta Australia berdasarkan hasil pertukaran maklumat menerusi WCOPA di Hollywood lalu. Pada masa sama, saya turut menghadiri sesi temu duga untuk profesion pramugara.

Nama: Zulyasrani Zaulyaddin 
Umur: 22 tahun
Tarikh lahir: 26 April 1988
Tempat lahir: Sungai Petani, Kedah
Tinggi: 185 sentimeter
Berat: 73 kilogram