My Follower

Fesyen Maskulin

 Kod fesyen 2011


Cetusan elemen klasik, kelelakian warna gaya tahun depan 

SELAMAT tinggal pentas fesyen 2010 dan raikan musim baru 2011 dengan cetusan idea dan rentak fesyen terkini. Bagi jejaka, tidak bermakna skop penggayaan kekal statik sebaliknya eksperimen fesyen haruslah mengikut trend semasa dengan mengambil kira elemen nuansa antarabangsa.



Biarpun wanita lebih cemerlang dalam menentukan hala tuju fesyen sambil berpaksikan kepada kalendar gaya empat musim, tidak bermakna lelaki tidak boleh beraksi dengan peraturan gaya yang tentunya memperlihatkan sensasi penggayaan yang mempesonakan.
Lelaki zaman sekarang tidak harus tunduk pada kekangan gaya memandangkan persekitaran semasa menuntut penampilan lebih mengesankan sebagai pelengkap untuk menonjol. Bukan saja cita rasa pakaian yang dinilai sebaliknya pemilihan warna serta penampilan membezakan seorang lelaki dengan lelaki lain. 

Paksi fesyen jejaka bergerak agak perlahan tetapi itu tidak bermakna pertembungan fesyen tidak berlaku memandangkan warna yang dikaitkan serta pengkhususan rekaan seperti mana konsep tahun depan yang dirasakan sebagai musim untuk sukan permotoran dan gaya punk. 

Berbanding 2010 yang mengetengahkan elemen industri dan ala tentera dalam berfesyen, lakaran gaya jejaka bagi tahun depan menyaksikan cita rasa lebih segar dan agak agresif. Melalui pilihan gaya ini, ia secara tidak langsung menonjolkan eksperimen dengan aksi kelelakian sebenar. 

Maka, XY Stailo minggu ini memaparkan antara idea terhangat fesyen 2011 yang bakal menjengah pasaran fesyen tahun depan. Bukan setakat idea untuk penggayaan yang dirasakan memberi inspirasi buat jejaka, pemilihan rekaan, panduan bergaya serta elemen warna seharusnya dititikberatkan supaya memberi impak kepada orang lain. 
Pada masa yang sama, rentas gaya juga seharusnya mengambil kira aspek potongan rambut di mana kesesuaian gaya berjaya menzahirkan penampilan mengagumkan. 

Ikuti beberapa idea yang mungkin menjadi pencetus fesyen terkini 2011.... Selamat bergaya! 

1) Sut 

KENYATAANNYA, rekaan sut jejaka 2011 tidak banyak berfantasi dengan rekaan terkini memandangkan sentuhan sedia ada dan gaya statik lelaki memperlihatkan penggayaan sut tidak banyak berubah. Kecuali, bagi menampakkan paksi moden rekaan tahun baru, gaya sut ditemukan dengan penggunaan butang yang banyak. Potongan sut yang mengikut badan juga berjaya menunjukkan sensasi baru walaupun secara keseluruhan rekaan sut masih kekal sama. 

2) Trend warna 

PADANAN warna asas dan gelap menjadi tema yang diketengahkan sebagai idea untuk warna pilihan jejaka 2011. Tiada pancaran cahaya, sebaliknya fesyen banyak terdorong pada warna-warna tanah serta sesekali tampil dalam warna biru campuran. Campuran warna-warna asas itu menyaksikan prinsip gaya jejaka terus cemerlang sehingga mudah berfantasi dengan padanan warna lembut. 

3) Seluar bellbottom 

NAMPAKNYA era seluar bellbottom pada 1970-an kembali mewarnai fesyen 2011. Namun, tidak tahu sejauh mana penerimaan jejaka hari ini terhadap trend seluar sebegini walaupun ramai pemerhati fesyen mahu bereksperimen dengan seluar berpotongan besar di bahagian bawah ini. 

Malah, kemasukan era seluar bellbottom dirasakan mampu mencetuskan kepelbagaian fesyen dalam penampilan sehari-hari jejaka. Siapa sangka, andai jejaka hari ini cukup sporting dan tampil vogue dengan idea seluar bellbottom yang cukup mengesankan! 

4) Rekaan pakaian 

ANDAI tahun lalu banyak rekaan jejaka berpaksikan kepada konsep industri dan ala tentera, kali ini medan fesyen memperlihatkan kemasukan elemen gaya bermotor serta fesyen punk. Tiada lagi konsep ‘kasar’ sebaliknya konsep rekaan terkini lebih ranggi dan segar. 

5) Rambut pilihan 

UMUMNYA rambut lelaki memang pendek tetapi soal penggayaan dan potongan yang membezakan seseorang lelaki itu. Bagaimanapun, 2011 lebih mengangkat jejaka yang berpotongan rambut kemas dan pendek tetapi masih lagi berpaksi kepada elemen fesyen. Contoh fesyen rambut jejaka yang menjadi pilihan termasuklah bintang lelaki yang Zac Efron, Justin Beaber dan Taylor Lautner. 

Apa kata pereka tempatan? 

“SAYA rasakan trend fesyen jejaka 2011 masih lagi berpaksikan gaya tahun sebelumnya dengan mengambil kira pertunjukan fesyen sebelum ini. Berbanding wanita, lelaki agak kurang kepelbagaian dari segi reka fesyen. Pun begitu antara kesan ketara yang dapat termasuklah rekaan sut yang dirasakan dilakukan dengan berpotongan. 

“Manakala, bahagian seluar tidak lagi tertumpu pada seluar skinny seperti mana sebelum ini. Apapun, saya merasakan mungkin coklat antara elemen terhangat 2011 terutama bagi lelaki. 

“Bagi rekaan saya sendiri, saya lebih gemar mengetengahkan elemen futuristik termasuk penekanan warna perak dan hitam untuk memperlihatkan eksperimen, berani dan ekslusif dalam jiwa jejaka.” - Ezuwan Ismail, Pereka fesyen tempatan. 



Sumber Klik Disini